Anwar calon terbaik pembangkang untuk jadi PM

0
1

PEMIMPIN pembangkang perlu mencari kesepakatan mengenai calon perdana menteri untuk ditawarkan kepada rakyat dalam suasana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang semakin hampir.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, pemimpin pembangkang perlu mengadakan perbincangan untuk menentukan siapa yang wajar dipilih.

Kenyataan itu dibuat susulan kegagalan pembangkang untuk menyekat Perikatan Nasional (PN) daripada terus menjadi kerajaan selepas lulusnya Belanjawan 2021 walaupun dengan undi tipis di Dewan Rakyat, semalam.

“Tidak boleh tunggu lama-lama… kena selesaikan segera,” katanya seperti dilapor MalaysiaKini.

Namun, bagi Hassan calon yang terbaik untuk ditawarkan sebagai calon perdana menteri dari blok pembangkang ialah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Anwar selaku ketua pembangkang wajar diangkat sebagai calon perdana menteri gabungan besar PH Plus dan parti-parti pembangkang lain,” katanya.

Semalam, bacaan kali ketiga Belanjawan 2021 cuba digagalkan melalui undian belah bahagi diminta pembangkang.

Selepas undian dikira sebanyak 111 ahli parlimen menyokong manakala 108 menolak.

Kelmarin Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memberi bayangan PN akan tumbang melalui undian tersebut.

Tengku Razaleigh sendiri tidak hadir di Dewan Rakyat semasa undian dilangsungkan.

Untuk membolehkan Belanjawan 2021 ditolak melalui undian semalam, pembangkang yang bersatu sepenuhnya masih perlu mengharapkan sokongan segelintir ahli parlimen kerajaan.

Ketika ada beberapa ahli parlimen Umno sebelum ini membayangkan rasa kurang senang mereka kepada belanjawan dibentangkan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lalu itu, keputusan semalam menunjukkan semua ahli parlimen kerajaan yang ada sepakat untuk menerimanya.

Minggu lalu Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal secara terbuka menyarankan pembangkang memilih kepemimpinan baru menghadapi PN pada PRU ke-15

Dalam pada itu, Hassan berkata, pemilihan pemimpin pembangkang itu adalah proses demokrasi dan dia sekadar mengangkat pandangan dan pendiriannya sendiri apabila menamakan Anwar.

“Pemimpin-pemimpin utama parti politik dalam PH (Pakatan Harapan) dan blok pembangkang perlu menyelesaikan hal calon ketua gabungan besar pembangkang serta bakal calon perdana menteri segera,” katanya.

Hassan menambah kerjasama PH dengan parti pembangkang lain juga perlu dimantapkan serta wadah bersama perlu dirangka.

“Bina naratif yang jelas mengapa dalam PRU ke-15 nanti rakyat Malaysia patut sokong PH dan gabungan baru yang berteraskan PH dengan Anwar sebagai calon PM,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here