Tindakan tegas terhadap pengusaha kelab malam yang degil – Ismail Sabri

0
1

Muhammad Mustakim Ramli

KERAJAAN tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pengusaha kelab malam yang masih beroperasi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ini kerana trend jumlah tangkapan akibat pelanggaran PKP ini meningkat dari sehari ke sehari khususnya membabitkan kelab malam, pusat hiburan dan pub.

Katanya, arahan kerajaan amat jelas untuk tidak membenarkan kelab malam dan pusat hiburan kembali beroperasi buat masa ini dan masih di bawah senarai terlarang.

“Tangkapan kerana operasi pusat hiburan berlaku hampir setiap hari walaupun sudah ada makluman dan peringatan dikeluarkan.

“Pada 12 Disember 2020, tangkapan membabitkan aktiviti pusat hiburan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 292.

“Untuk itu, saya minta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk bertegas dan tidak bertolak ansur sama ada menarik semula lesen premis terbabit, sekali gus menghentikan operasi mereka untuk selamanya jika masih berdegil,” katanya hari ini.

Ismail Sabri berkata, semua pihak perlu bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengekang dan seterusnya memutuskan rantaian penularan Covid-19 maka kerana itulah setiap arahan dan peraturan yang telah dikeluarkan mesti dipatuhi.

Sementara itu, beliau berkata, semalam polis menahan 201 individu atas kesalahan ingkar arahan SOP dan kesemuanya dikompaun.

“Antara kesalahan ingkar SOP termasuk gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (87); idak memakai pelitup muka (73); gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (28) dan lain-lain (13).

“Masih terdapat kekeliruan berhubung SOP pemakaian pelitup muka. Seperti tular di media sosial sebelum ini apabila seorang individu dikompaun ketika berada berseorangan di taman awam yang kosong.

“Dalam kes ini sepatutnya, individu tersebut tidak dikompaun kerana berada di tempat awam secara bersendirian dan tempat tersebut kosong. Seperti saya tegaskan sebelum ini bahawa pemakaian pelitup muka diwajibkan apabila berada di tempat awam yang sesak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here