Muhammad Mustakim Ramli
AHLI Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi mencadangkan kerajaan perpaduan dimulakan di Perak.
Malah, beliau berpendapat slogan ‘No Anwar No DAP’ tidak semestinya relevan sepanjang masa kerana senario berubah, orang berubah dan pemikiran politik lagi cepat berubah.
“Ia bukan soal membentuk satu gabungan baru. Ini hanya kerjasama politik. Seperti PH (Pakatan Harapan) sokong usul Umno di Perak. Tidak salah. Umno pun bukan ahli PN (Perikatan Nasional). MN (Muafakat Nasional) juga belum daftar.
“Kita harus terbuka dengan kerjasama politik. DAP dan PKR pernah sokong usul tergempar Umno dalam Parlimen bila membantah serangan Israel di Palestin.
“Tidak dinafikan ada akar umbi Umno yang keliru. Tetapi mereka juga keliru bila ada pemimpin Umno yang berunding dengan Tun M (Dr Mahathir Mohamad) dan (Datuk Seri) Azmin (Ali) tanpa pengetahuan MKT,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Puad juga turut meninggalkan persoalan mengenai sebelum ini iaitu seperti siapa terfikir PAS bergabung dengan DAP dan siapa terfikir Muslimat PAS julang bendera Roket semasa PRU dan PRK.
“Siapa terfikir Mahathir dan (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) bergabung dengan DAP untuk menjatuhkan Umno?
“Wajarkah mereka dianggap pengkhianat kepada orang Melayu dan Islam kerana menjatuhkan kerajaan Melayu dengan bantuan Anwar dan DAP?,” katanya.
Beliau berkata, slogan ‘No Anwar No DAP’ digunakan oleh beberapa pemimpin yang berjawatan dan mendakwa mereka tidak mahu kerajaan PN tumbang.
“Pemimpin Bersatu tumpang semangkuk guna slogan ‘No Anwar No DAP’ untuk serang UMNO. Sejujurnya mereka takut dan rasa terancam jika wujud kerjasama itu.
“Benar, No Anwar No DAP adalah keputusan MKT Umno. (Tan Sri) Annuar Musa guna slogan ini untuk pertahan PN. Sebagai ahli MKT, saya pula tidak mahu Umno terlalu rigid,” katanya.-Malaysiapost

