Tingkatkan kualiti Feri Pulau Pinang, bukan henti perkhidmatan

0
2

KERAJAAN Persekutuan digesa mempertimbang semula cadangan untuk menggantikan perkhidmatan feri Pulau Pinang dengan bot katamaran.

Pengerusi Persatuan Kemajuan Nusa Pulau Pinang, Hazizi Padzil, berkata perkhidmatan pengangkutan awam laut yang ikonik itu perlu ditingkatkan kualiti serta perkhidmatan dan bukan ditamatkan begitu sahaja.

Sehingga kini katanya, cadangan menggunakan bot katamaran kurang jelas kerana tidak diperincikan kepada orang awam termasuk jenis bot akan digunakan.

Katanya, walaupun terdapat bot katamaran besar yang mempunyai ruang kepada kenderaan namun harganya begitu mahal manakala mengikut perkiraan kerajaan Persekutuan, bot katamaran yang dicadang hanya boleh memuatkan penumpang.

“Bot katamaran dilihat sebagai bot moden dan penumpang semestinya sangat teruja bagi menggunakannya, namun ia tiada ruang bagi penumpang berkenderaan ringan seperti motosikal, kereta dan van.

“Ia menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penumpang berkenderaan terutama penunggang motosikal yang memikirkan risiko keselamatan jalan raya  selain pemandu kereta pada waktu kemuncak dan musim hujan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam Dewan Rakyat pada 7 Disember lalu menyatakan seramai 1.5 juta penumpang menggunakan perkhidmatan feri dalam tempoh setahun dan 200,000 daripada jumlah itu adalah penumpang berkenderaan.

Hazizi berkata, terdapat jurang besar sekiranya mahu dibandingkan jumlah penumpang berkenderaan itu dengan penumpang biasa, namun ia bukan angka kecil dan tidak perlu dihiraukan.

“Kita tidak menolak pemodenan dan diganti dengan perkhidmatan pengangkutan air lain.

“Namun sumber lama perkhidmatan sedia ada bagi menghubungkan tanah besar dan bahagian, masih boleh ditingkatkan kualiti dan perkhidmatannya,” katanya.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sebelum ini meminta Ka Siong menilai kembali dan membenarkan feri sedia ada dibangunkan semula supaya kenderaan yang menggunakan perkhidmatan feri dapat juga merasai perkhidmatan feri baharu yang bakal dipesan kementerian itu atau Penang Port Sdn Bhd kelak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here