Tempoh kuarantin wajib dipendek kepada 10 hari

0
1

BERKUAT kuasa esok, tempoh kuarantin wajib bagi pengembara yang pulang dari luar negara dan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 di Malaysia dikurangkan kepada 10 hari berbanding 14 hari sekarang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata langkah itu sama seperti dilakukan di negara lain berdasarkan laporan saintifik semasa.

Sebelum ini, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan akan mengkaji untuk memendekkan tempoh kuarantin ke atas prosedur pengurusan kuarantin wajib kepada pengembara yang pulang dari luar negara dan kontak rapat kepada kes yang disahkan positif Covid-19.

“Ini selaras dengan situasi semasa Covid-19 di Malaysia dan laporan klinikal terkini dari seluruh dunia.

“Ia terpakai bagi perintah pengawasan dan pemerhatian yang dilaksanakan di pusat kuarantin diwartakan atau di tempat kediaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, langkah tersebut diambil berdasarkan pelaksanaan tempoh kuarantin oleh negara-negara lain di dunia dan laporan saintifik klinikal semasa.

“Sehingga kini beberapa negara telah menyemak semula tempoh masa kuarantin wajib di negara masing-masing.

“Negara-negara seperti United Kingdom, Jerman dan Belgium telah menurunkan tempoh kuarantin daripada 14 kepada 10 hari.

“Perancis pula telah mengambil tempoh masa kuarantin wajib selama tujuh hari,” katanya.

Beliau berkata, semakan bukti saintifik klinikal terkini mendapati risiko jangkitan pasca-kuarantin akan berkurangan mengikut tempoh masa kuarantin dan kadar kebolehjangkitan adalah tertinggi pada minggu pertama selepas pendedahan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here