‘PAS tidak pernah tolak untuk berada dalam kerajaan Perak’

0
1

Aiman Hanif

PAS tidak pernah menolak untuk berada dalam kerajaan negeri Perak yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad.

Sebaliknya kata seorang pemimpin kanan PAS yang enggan namanya didedahkan, parti itu hanya menolak untuk terlibat dalam pembentukan kerajaan negeri baharu.

“Jika diajak berada dalam kerajaan kita sedia, cuma kita menolak untuk terlibat dalam pembentukan kerajaan kerana wakil rakyat PAS menyokong undi percaya itu.

“Jadi, jika selepas usul menyokong Menteri Besar Perak ketika itu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ditolak, tak kan kita mahu bersama dalam usaha pembentukan kerajaan baharu, kita kena ada prinsip.

“Kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan jelas bahawa PAS tidak bersama dalam pembentukan kerajaan baharu, bukannya tidak mahu menyertai kerajaan,” katanya kepada Malaysiapost.

Pada 3 Dis lalu, Adun Chenderiang yang juga Timbalan Presiden Bersatu itu gagal mendapat sokongan majoriti daripada wakil-wakil rakyat negeri itu dalam undian percaya.

Sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya. satu undi rosak atau berkecuali.

Dengan itu Ahmad Faizal akan berundur daripada jawatannya sebagai menteri besar.

Usul tersebut dibawa Adun Pengkalan Baru dari Umno, Abd Manaf Hashim. Asalnya usul tersebut disenarai untuk dibahaskan selepas pembentangan Belanjawan 2021 Perak.

Katanya lagi, PAS tentu tidak akan menolak untuk berada kerajaan Perak jika dipelawa oleh sekutunya dari Umno.

“Kita pasti akan berada dalam kerajaan negeri jika dijemput kerana sebelum ini kita telah bersama di bawah kepimpinan Ahmad Faizal,” katanya.- Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here