Iktiraf Israel: Mat Sabu gesa Abdul Hadi buat sesuatu

0
1

SEBAGAI anggota Pertubuhan Kerjasama Negara Negara Islam (OIC), Malaysia perlu memainkan peranan untuk menghentikan negara-negara Arab terus menyokong sekali gus mengiktiraf Israel sebagai negara berdaulat.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu menggesa Malaysia melalui Menteri Duta Khas Timur Tengah Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertindak lebih tuntas memastikan perkara ini tidak berterusan dan menyekat Israel mendapat pengiktirafan daripada negara Islam lain.

“Kita harap Duta Khas Malaysia ke Timur Tengah yang bertaraf Menteri mesti bekerja keras melalui OIC supaya negara-negara Islam dan negara dunia ketiga terus tidak mengiktiraf Israel dan berusaha membantu Palestin untuk membebaskan bumi mereka dan mengembalikan pelarian Palestin ke tanah air mereka,” kata Mohamad Sabu dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Kota Raja itu, Isreal perlu diberi tekanan dan dikutuk kerana melakukan penindasan dan kekejaman terhadap umat Islam terutamanya kepada rakyat Palestin

“Satu demi satu negara-negara Arab telah mengiktiraf kewujudan negara Israel yang dibina di atas rampasan tanah-tanah rakyat Palestin dengan menghalau penduduk asal di situ.

“Negara-negara monarki seperti UAE, Arab Saudi, Bahrain, Morocco, Jordan dan negara-negara yang lain termasuk Mesir mengiktiraf kewujudan Israel.

Bahkan inteligensia Israel bekerjasama dengan Amerika Syarikat dan negara-negara Arab untuk mengebom negara negara yang tidak mengiktiraf Israel seperti Iran, Iraq, Syria dan Lubnan,” kata Mohamad Sabu.

Sambil menyindir Abdul Hadi, Mohamad Sabu menggesa Presiden Pas itu untuk fokus dan memainkan peranannya sebagai Menteri Duta Timur Tengah daripada sibuk berpolitik di dalam negara.

“Duta Khas Malaysia ke Timur Tengah yang bertaraf Menteri tersebut janganlah duduk diam sahaja melihat keadaan yang berlaku sekarang ini dengan kerjanya hanya pergi ke rumah Tan Sri Muhyiddin, Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Zahid Hamidi.

“Itu sahaja perundingan-perundingan yang dilakukan. Sedangkan negara orang Islam sedang kucar-kacir dan semakin galak mengiktiraf kewujudan Israel.

“Kita harap Malaysia tidak mengikut jejak langkah negara-negara Arab tersebut,” katanya.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here