UMNO akan terus memperkukuh kerjasama politik dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk memastikan undi orang Melayu tidak berpecah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana tiga parti Melayu itu sudah mencapai persetujuan untuk tidak bertembung sesama sendiri dalam PRU-15.
“Kita belajar dari pengalaman lalu, pertembungan tiga parti ini pada PRU lalu menyebabkan Pakatan Harapan (PH) memerintah, mereka menunggu keadaan yang sama berlaku pada PRU-15.
“Untuk PRU akan datang, Umno akan guna lambang Barisan Nasional (BN), manakala Bersatu dan Pas mungkin guna lambang Perikatan Nasional (PN), tetapi jika mereka bertanding di sesuatu kawasan, BN tidak akan bertanding di kawasan itu dan begitulah sebaliknya.
“Matlamat utama kita adalah mengelakkan pertembungan kerana tidak mahu undi Melayu berpecah,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, pihaknya sehingga kini belum selesai melakukan rundingan pembahagian kerusi untuk menghadapi PRU-15.
Katanya, sebarang masalah yang berbangkit selepas ini, Umno akan sentiasa bersedia untuk berbincang bersama Pas dan Bersatu.
“Kita belum selesai berunding kerusi jadi adalah lebih baik untuk tunggu semuanya selesai terlebih dahulu.
“Setakat ini, itulah persetujuan yang dicapai. Untuk masa depan pun, saya fikir takkan ada masalah yang timbul kerana apa jua perkara berbangkit, boleh dibawa berbincang dengan semua pihak,” katanya. – Malaysiapost

