Jika terbukti, gugurlah keahlian Hasnul – Hamzah

0
1

KEAHLIAN Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim sebagai anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan tergugur sendirinya sekira terbukti beliau tidak bersama dengan agenda parti.

Setiausaha Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya tidak perlu mengambil sebarang tindakan ke atas wakil rakyat berkenaan yang didakwa menyokong usul ‘keyakinan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) terhadap Menteri Besar’ pada 4 Disember lalu.

“Kita tak perlu ambil tindakan dan sekiranya terbukti apa yang dilakukannya (sokong usul itu) itu, maka ianya akan tergugur mengikut perlembagaan parti.

“Cuma selepas ini Umno Perak akan kemukakan bukti-bukti kepada kita dan jika benar, dia (keahlian Hasnul) akan tergugur dengan sendirinya,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Usul itu yang dibentangkan di persidangan DUN Perak menyebabkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Timbalan Presiden Bersatu, gagal memperoleh sokongan majoriti Adun dan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama Exconya, sehari selepas itu.

Hasnul Zulkarnain menyertai Bersatu pada 3 Jun lalu. Beliau adalah ADUN ketiga menyertai Bersatu selepas Adun Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari dan Adun Tualang Sekah, Datuk Norlee Ashilin Mohd Radzi.

Sebelum itu, beliau adalah wakil rakyat Bebas selepas meninggalkan Amanah pada 9 Mac lalu susulan penjajaran politik di Perak yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pemerintahan dari Pakatan Harapan (PH). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here