Penjawat awam tak perlu takut lapor kes rasuah

0
1
LABUAN, 02 Okt -- Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Amanat kepada Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan hari ini. -- fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

KESELAMATAN dan maklumat penjawat awam yang melaporkan kesalahan rasuah di kementerian, jabatan dan agensi kerajaan akan dilindungi.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, semua maklumat dan butiran pengadu akan dirahsiakan mengikut peraturan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Perlindungan Saksi 2009.

Beliau berkata, kerajaan sememangnya memandang serius mengenai sebarang isu salah laku membabitkan penjawat awam.

“JPA menggalakkan penjawat awam untuk tampil memberi maklumat sebarang salah laku dalam usaha membendung ketirisan yang berlaku di organisasi masing-masing.

“Kesalahan ini terutamanya membabitkan penyalahgunaan kuasa di pelbagai peringkat tanpa mengira pangkat dan kedudukan,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Mohd Khairul berkata, pihaknya menegaskan semua ketua jabatan memandang serius isu itu dan sentiasa memastikan sebarang ketirisan dan penyalahgunaan kuasa tidak berlaku di semua peringkat organisasi.

Beliau berkata, pemberi maklumat sebenarnya mempunyai pelbagai saluran untuk menyampaikan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Unit Integriti di setiap organisasi masing-masing.

Katanya, semua penjawat awam tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (1993)(P.U.A 395/1993).

“Sebarang pelanggaran kepada mana-mana peraturan termasuk tidak melaporkan salah laku pegawai boleh dikenakan tindakan tatatertib.

“JPA mengucapkan syabas dan tahniah kepada penjawat awam yang berani tampil ke hadapan bagi membendung salah laku dan inisiatif ini menunjukkan mereka mempunyai integriti sangat tinggi serta boleh menjadi contoh kepada penjawat awam lain,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here