Kerajaan Negeri Kelantan membenarkan solat Jumaat, fardu diadakan di masjid dan surau di Daerah Penggawa, Kubang Kerian di Kota Bharu dan Kusial di Tanah Merah, yang masih dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, berkata aktiviti di masjid dan surau di dua daerah itu juga dibenarkan dengan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP), PKPB.
“Kebenaran itu juga diberikan di masjid dan surau di jajahan Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah dan Machang.
“Bagaimanapun, surau dan masjid yang terletak di kawasan Madrasah Ad-Diniah, Kampung Huma, Pasir Puteh yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan Kluster Huma diarah tutup sehingga tarikh yang akan diumumkan kelak,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata, surau dan masjid yang terletak dalam kawasan jangkitan Kluster Mengketil dan Istana Negeri Kubang Kerian juga masih ditutup.
“Perkara ini mendapat perkenan daripada Sultan Muhammad V dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan sebagai Ketua Agama Islam sebagaimana peruntukkan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, yang membenarkan solat Jumaat, fardu dan aktiviti di masjid dan surau dibenarkan mengikut SOP,” katanya. -Malaysiapost

