KERAJAAN hari ini mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah Kota Bharu, Machang, Tanah Merah dan Pasir Mas di Kelantan yang sepatutnya berakhir 20 Disember ditamatkan hari ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kes positif Covid-19 empat daerah itu menunjukkan trend penurunan mendadak.
Pada masa sama, katanya, penularan wabak tersebut di kesemua kawasan berkenaan terkawal, sementara kes-kes aktif yang masih ada hanya tertumpu di beberapa mukim.
“Atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPB di Kota Bharu, Machang, Tanah Merah dan Pasir Mas pada 11 Disember kecuali bagi dua mukim (Daerah Penggawa) iaitu:
“Mukim (Daerah Penggawa) Kubang Kerian, Kota Bharu dan Mukim (Daerah Penggawa) Kusial, Tanah Merah yang akan diteruskan sehingga 20 Disember,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Madrasah Ad-Diniah Al-Falahiah di Kampung Dalam Huma, Bukit Awang, Pasir Puteh turut diteruskan sehingga 20 Disember. – Malaysiapost

