MAYAT Naib Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Kota Tinggi, Mohd Zulfikrie Buang telah ditemui.
Mangsa dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke laut di Jeti Tanjung Balau, Bandar Penawar di KotaTinggi petang semalam.
Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat Bandar Penawar, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fadli Ismail berkata mayat ditemui di kawasan berbatu menghala ke Tanjung Lompat kira-kira jam 3 petang tadi.
“Kami menemui mayat mangsa dengan jarak anggaran 500 meter dari tempat kejadian atau tempat mangsa jatuh.
“Semalam bomba membuat pencarian di pinggir pantai di tiga kawasan iaitu Jeti Nelayan Tanjung Balai, Jeti Chalet Tanjung Balau dan Pantai Tanjung Balai,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.
Jenazah Mohd Zulfikrie, 24, dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan selanjutnya.
Dalam kejadian jam 5.05 petang semalam, Mohd Zulfikrie dikatakan tergelincir dari perancah semasa membaiki kerosakan jeti itu sebelum hilang. – Malaysiapost

