Pemandu treler maut tersepit

0
1

MALANG tak berbau, seorang lelaki maut apabila tersepit ketika cuba menyendal kayu di tayar trelernya yang mengundur di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kulai arah utara, Lebuhraya Utara-Selatan hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.25 petang itu, Suhaimi Abd Rahim, 59, yang memandu treler jenis Mitsubishi Fuso berhenti di R&R tersebut berhampiran sebuah lori jenis Hicom.

Difahamkan, treler yang dipandunya itu telah diparkir namun mengundur secara tiba-tiba, mangsa yang melihat kejadian berkenaan mengambil inisiatif dengan mengambil kayu untuk diletakkan pada bahagian bawah tayar bagi menghalang daripada terus bergerak.

Semasa cuba menyendal tayar treler berkenaan yang terus mengundur, mangsa tersepit di tengah-tengah antara dua kenderaan berat tersebut.

Seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Kulai dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

Komander Operasinya, Pegawai Bomba Kanan II Abd Malik Abd Rahman berkata, anggota bomba mengambil masa tidak sampai setengah jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan yang hadir untuk memberi bantuan kecemasan.

“Kejadian itu dipercayai berlaku disebabkan masalah brek namun siasatan lanjut masih dijalankan.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan operasi tamat pada jam 2.21 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here