PERIKATAN Nasional (PN) perlu fokus dan memperkasakan Barisan Nasional (BN), PAS, Bersatu dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bukan hanya mengulangi kenyataan untuk menubuhkan gagasan besar sahaja.
Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo memerli kenyataan Setiausaha Agong Bersatu, Datuk Seri Hamzah hari ini yang menyebut untuk menubuhkan gabungan besar PN, BN dan GPS bagi menghadapi PRU-15 akan datang.
Wan Muhammad Azri berkata, sewajarnya tidak perlu diulang kerana sekarang ini pun ianya telah wujud dan kerajaan yang ada hari ini juga adalah kerana kesepakatan yang dibuat pemimpin parti.
“Perkukuhkan kerjasama antara semua parti dalam Perikatan Nasional.
“Bersatu sebagai ABANG BESAR dalam Kerajaan perlu fokus membantu memperkasakan BN, PAS dan GPS bagi berhadapan Pakatan Pembangkang PRU-15 akan datang.
“Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu (bertindak) dengan segera untuk membawa kesemua kepimpinan parti yang ada dalam kerajaan, dalam semua perkara dasar yang melibatkan kepentingan negara dan Rakyat,” katanya di Facebook.
Beliau berkata, contohnya seperti isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Moratorium yang hingga ke saat ini kerajaan belum memuktamadkan lagi keputusan yang dituntut rakyat melalui suara yang dibawa ahli parlimen Barisan Nasional.
“Apa sahaja cadangan yang baik dari parti kerajaan perlu dibincangkan dan dipastikan ianya dapat dijayakan bagi terus memberikan keyakinan kepada rakyat akan kemantapan kerajaan PN.
“Pihak Pembangkang tidak akan pernah berhenti dari terus memecah-belahkan kesepakatan yang dibuat parti kerajaan dan mereka PH juga tidak pernah berhenti menghasut rakyat untuk menolak gabungan besar yang ada dalam kerajaan.
“Rakyat dah tolak Pakatan Harapan dan rakyat boleh menerima kerajaan hari ini yang dibentuk bukan melalui mandat rakyat maka wajarlah kepimpinan kerajaan terutama dari parti Bersatu tidak melakukan pecah dan perintah kepada parti parti yang ada dalam kerajaan,” tegasnya.
Tambahnya, Bersatu perlu jujur dalam gagasan besar ini bagi kita sesama parti membina kepercayaan antara satu sama lain dalam memikul amanah rakyat.
“Matlamat kita menang PRU15 dengan majoriti 2/3 parlimen. InsyaAllah,” katanya. -Malaysiapost

