Lonjakan kes baharu Covid-19 di Selangor dijangka – STFC

0
1
Putra Jaya 060818 Minister of Health Dr Dzulkefly Ahmad During MOU Signing Ceremony (pic by : Ismail Che Rus)

LONJAKAN mendadak kes baharu Covid-19 di Selangor telah dijangka oleh Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC).

Pengerusi STFC, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ini disebabkan oleh peningkatan ujian saringan yang disasarkan di kalangan pekerja asing, usaha yang sebelum ini memang digesa STFC.

Katanya, bahawa ada di dalam kumpulan sasaran yang sudah dijangkiti Covid-19 tetapi tidak dapat dikenal pasti sehingga ujian dilakukan.

“Hanya apabila kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengubah dua polisi yang kami cadangkan, barulah kes-kes dapat dikesan dan mencanak naiknya.

“Di sini mustahak untuk kita iktiraf peranan polisi yang betul dan koheren buat menangani cabaran Gelombang Ketiga ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Bekas Menteri Kesihatan itu, bahawa 90 peratus kes baru yang dilaporkan semalam melibatkan tempat kerja, iaitu Kluster Teratai, Seruling, Perigi, Bah Manggis, Usaha dan Sri Jujur.

“Inilah punca utama kes mencanak naik di negeri Selangor. Selebihnya adalah kes-kes dari punca tak ada kaitan dengan kes kluster atau ‘unlinked cases’ yang berlaku secara ‘sporadik-spontan’ dalam komuniti,” katanya.

Bagaimanapun, beliau juga mengingatkan bahawa ada kemungkinan kluster tempat kerja seperti itu merebak ke komuniti.

Sehubungan itu, Dr Dzulkefly meminta penduduk di Selangor untuk menyedari hakikat bahawa Selangor adalah “zon merah” dan penduduk di negeri berkenaan perlu mengekang kehendak untuk membuat perjalanan merentas negeri.

“Maka amat mustahak untuk warga Selangor supaya mengekang kehendak untuk pulang ke kampung, merentas daerah dan negeri kerana kita akan bawa pulang virus ini ke kampung kepada emak, ayah dan sanak-saudara yang kita kasihi.

“Meskipun kita mungkin tidak bergejala atau ‘asymptomatik’, andainya kita sudah terdedah kepada virus ini kerana berada dalam zon merah,” tegasnya.

Semalam, KKM melaporkan Selangor mencatat kes baharu positif Covid-19 iaitu 1,428 dengan 842 daripada Kluster Seruling dan 315 Kluster Hentian.

Untuk rekod, Kluster Seruling  membabitkan daerah Klang, Hulu Selangor dan Petaling dikesan pada 4 Disember lalu hasil saringan di tempat kerja.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here