Covid-19: Saringan pekerja asing, bersasar punca kes di Selangor melonjak

0
1

MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan peningkatan mendadak kes Covid-19 sehingga empat angka semalam berpunca saringan pekerja asing serta program saringan bersasar oleh majikan dan agensi kerajaan.

Katanya, keadaan itu bagaimanapun masih terkawal dan orang ramai terus diminta terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan amalkan kawalan kendiri.

“Selangor mencatat jumlah kes yang tinggi berpunca daripada saringan pekerja asing serta program saringan bersasar yang dilaksanakan oleh majikan dan agensi kerajaan iaitu Kluster Seruling di Klang dan Kluster Hentian di Hulu Langat.

“Kerajaan negeri akan terus memantau keadaan semasa dan mengambil tindakan sewajarnya di samping bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19 di Selangor,” katanya menerusi Facebook.

Semalam, KKM memaklumkan Selangor kembali mencatatkan empat angka dalam jumlah kes baharu Covid-19 apabila merekodkan 1,428 kes.

Sementara itu, Pasukan Petugas Khas Selangor untuk Covid-19 (STFC) memaklumkan, pecahan kes semalam membabitkan 1,200 daripada kluster sedia ada; 39 kluster tapak bina Jalan Bukit; 92 saringan kontak rapat dan 97 lain-lain saringan.

Pertambahan kes baharu itu menjadikan kes aktif terkumpul di Selangor kini 5,749 dengan 31 kematian.

Klang terus merekodkan kumulatif kes aktif tertinggi dengan 3,239 kes diikuti Hulu Langat (1,400); Petaling (642); Gombak (172); Sepang (101); Kuala Langat (86); Kuala Selangor (72); Hulu Selangor (22) dan Sabak Bernam (tiga).

Kali terakhir Selangor merekodkan kes empat angka adalah pada 24 November lalu dengan 1,623 kes. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here