SEORANG wanita berasal dari Tawau, Sabah sanggup menjalani kuarantin 14 hari di Semenanjung sebelum melawat keluarga teman lelakinya di Bachok, Kelantan.
Malah, wanita awal 20-an itu juga menyamar sebagai pegawai polis berpangkat inspektor sebelum ditahan jam 8 malam tadi susulan laporan dibuat ibu bapa teman lelakinya.
Nama Humairah tertera pada seragam palsu yang digunakan wanita itu.
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, gadis itu datang ke Kelantan untuk bertemu teman lelakinya, anggota tentera berusia 23 tahun.
Shafien berkata, apabila tiba di negeri itu, dia menjalani tempoh kuarantin dua minggu sebelum tinggal di rumah keluarga teman lelakinya di Kampung Bukit Bato di Kota Bharu sejak seminggu lalu.
“Sewaktu berada di rumah teman lelakinya, gadis itu telah menggantung uniform operasi polis berpangkat inspektor di dalam kereta jenis Perodua Myvi milik teman lelakinya.
“Perbuatan menggantung uniform itu dipercayai untuk menarik kepercayaan keluarga teman lelaki bahawa dia merupakan pegawai polis dan mempunyai pendapatan stabil,” katanya ketika sidang media hari ini.
Shafien berkata, tindakannya itu menimbul curiga kepada keluarga berkenaan kerana bagaimana dia boleh bercuti dalam tempoh lama.
“Susulan itu, keluarga berkenaan membuat aduan kepada polis sebelum wanita terbabit ditahan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan suspek pernah melakukan kesalahan sama pada 2017 di Sungai Besi, Kuala Lumpur.
“Kita tidak menolak kemungkinan suspek menyamar sebagai Inspektor polis untuk mencari jodoh, selain mampu meyakinkan keluarga teman lelakinya.
“Hasil tangkapan itu, polis merampas pakaian operasi PDRM dan suspek direman sehingga Sabtu ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan tambah Seksyen 89 (c) Akta Polis 1967 kerana memiliki peralatan polis ,” katanya. – Malaysiapost

