SERAMAI 217 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.
Daripada jumlah itu, seramai 210 individu dikompaun manakala tujuh lagi direman, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, kesalahan ingkar arahan PKP tertinggi dicatatkan semalam adalah tidak memakai pelitup muka iaitu 99 individu.
“Selain itu, kesalahan lain yang dikesan adalah gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (60), gagal mematuhi penjarakan fizikal (31), aktiviti pusat hiburan (17) dan lain-lain (10),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, Operasi Benteng semalam menahan 67 pendatang asing tanpa izin, dua tekong serta merampas empat kenderaan darat dan lapan bot/kapal.
“Sebanyak 121 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksanakan semalam melibatkan polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM).
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong-lorong tikus,” katanya. – Malaysiapost

