Dewan Rakyat lulus usul peruntukan J-KOM kurang RM45 juta

0
2

[PARLIMEN] PERSIDANGAN Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul pengurangan peruntukan bagi Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) sebanyak RM45 juta berbanding RM81.5 juta yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2021.

Usul itu dicadangkan Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Abd Rahim Bakri sebelum giliran perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Ia membabitkan pemotongan 47.4 peratus daripada keseluruhan peruntukan J-KOM yang sebelum ini dikenali Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), menerusi kertas pindaan yang diusulkan Abd Rahim.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan usul itu dipersetujui dengan suara majoriti selepas dibahas enam Ahli Parlimen, masing-masing tiga daripada blok pembangkang dan penyokong kerajaan.

Terdahulu, Abd Rahim yang menggunakan Peraturan Mesyuarat 57(2) mencadangkan supaya Fasal 2 dalam teks bahasa Kebangsaan dan bahasa Inggeris Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 dipinda.

“Pindaan ini dengan menggantikan RM164,151,656,800 kepada RM164,106,656,800.

“Saya juga mohon mencadangkan jadual kepada RUU dipinda di bawah ruang jumlah, bagi maksud kepala bekalan B47, dengan menggantikan RM1,242,464,900 kepada RM1,197,464,900.

“Pindaan lain pada jumlah dengan menggantikan RM164,151,656,800 kepada RM164,106,656,800.

“Pindaan ini berbangkit daripada pengurangan jumlah wang yang diperuntukkan bagi maksud B47 yang dinyatakan dalam jadual kepada RUU, iaitu untuk mengurangkan RM45 juta daripada jumlah diperuntukkan menerusi kepala bekalan B47.

“Ini menerusi butiran 050100, perluasan Jabatan Hal Ehwal Khas,” katanya seperti dilapor BH.

Abd Rahim ketika penggulungan berkata, permohonan asal dikemukakan sebelum ini berjumlah RM128 juta yang membabitkan 948 kakitangan, namun Kementerian Kewangan hanya memperakukan RM85.5 juta bagi 500 petugas kontrak.

“Pengurangan RM45 juta daripada keseluruhan peruntukan asal J-KOM, seperti dibentangkan menerusi kertas pindaan itu cukup besar.

“Matlamat J-KOM bertujuan membangun komuniti, khususnya di peringkat akar umbi, yang mengamalkan budaya ilmu, berkemahiran digital dan menghayati makna serta fokus patriotisme.

“Ini dilaksanakan dengan menggunakan pendekatan pemerkasaan komuniti,” katanya.

Pada 25 November lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan JASA dijenamakan semula sebagai J-KOM dengan peranan dan fungsi berbeza.

Beliau menjelaskan J-KOM bermatlamat mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat dengan penyaluran maklumat yang tepat, sahih serta bijaksana. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here