TIGA kali istiadat pelantikan Menteri Besar dilakukan, ia bukan sejarah yang mahu dibanggakan, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Baginda mahu kemelut kepimpinan kerajaan negeri itu membabitkan jawatan Menteri Besar yang mula tercetus sejak Jumaat lalu berakhir dan pelantikan Menteri Besar sebanyak tiga kali sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 adalah cerminan kegagalan kepimpinan ahli politik.
“Ini perkara yang mencatatkan sejarah baharu yang tidak pernah berlaku dalam sesuatu penggal DUN sebelum ini. Tetapi perkara ini bukanlah sejarah yang mahu dibanggakan, perkara yang berlaku akan tercatat dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan.
“Kegagalan kepimpinan dalam kalangan ahli-ahli politik mendapat jaminan sokongan padu secara konsisten untuk membolehkan fikiran dan tenaga ditumpukan mentadbir urus negeri secara terbaik bagi kepentingan rakyat,” titah baginda pada Majlis Istiadat Pelantikan Menteri Besar Perak ke-14 di Istana Iskandariah, hari ini.
Baginda bertitah, rakyat meletakkan harapan kepada wakil rakyat untuk menambah baik kawasan tempat tinggal mereka, membantu menyediakan keperluan dan perkhidmatan, membantu meningkatkan taraf ekonomi serta memenuhi sebanyak mungkin keperluan sosial mereka.
Titahnya, rakyat pelbagai kaum dalam semua kawasan diwakili Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) mahukan sebuah negeri aman, dengan pemerintahan melaksanakan keadilan dan membina kerukunan, supaya mereka dapat hidup dalam semangat saling menghormati serta harmoni.
“Rakyat jelata, terutama dalam kalangan berpendapatan rendah dan miskin, rakyat yang semakin ramai kehilangan pekerjaan dan pendapatan akibat pandemik COVID-19, jangan dijadikan kancil yang mati tersepit kerana gajah yang tidak berhenti-henti beradu.
“Doa rakyat yang merasakan diri mereka teraniaya tidak ada dinding untuk dimakbulkan Ilahi, janganlah rakyat dianiayai kerana dipengaruhi emosi berdendam dan pemikiran politik yang jumud,” titahnya.
Titah baginda, sifat sebenar seseorang itu akan terserlah ketika beliau mendapat jawatan, kuasa, kekayaan dan harta, sehingga lenyapnya budaya kesederhanaan dan merendah diri, sebaliknya menjelma sifat sombong dan gelagat bongkak.
“Perubahan sifat dan pertukaran watak lebih cepat berlaku apabila seseorang insan mula dikelilingi oleh orang-orang tamak yang berkepentingan sendiri, bermuka-muka, membisikkan kata-kata pujian dengan niat tersirat, lalu menyalahgunakan hubungan dengan pemimpin.
“Beringatlah, semakin tinggi kedudukan seseorang insan, semakin jauh pandangannya dari bumi tempat kakinya pernah berpijak. Jangan sama sekali membenarkan diri leka, terawang-awang dalam awan biru khayalan hingga lupa rumput hijau yang ditinggalkan mungkin berubah perang, gersang kerana terlalu lama, tidak lagi disirami hujan,” titahnya.
Sultan Nazrin bertitah, pelbagai pihak daripada kalangan pakar perundangan, pegawai kerajaan, orang perseorangan serta pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) mengadap baginda bagi menyampaikan cadangan, pendapat dan saranan masing-masing.
“Kesemua mereka mempunyai niat dan tujuan yang murni mahu membantu supaya kemelut yang berlaku dapat ditangani. Kepada kesemua mereka beta menzahirkan penghargaan tinggi,” titahnya.
Baginda juga menghargai peranan petugas media yang berkampung di hadapan Istana Kinta, di bawah terik panas matahari dan dibasahi hujan, untuk melaksanakan tugas melaporkan dan menyiarkan berita secara bertanggungjawab kepada rakyat.
“Demikian juga kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membantu mengawal keadaan membolehkan pelbagai pihak melaksanakan tugas masing-masing secara tenteram dan teratur,” titahnya. – Malaysiapost

