SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar yang baharu.
Menerusi kenyataan, Dato’ Pengelola Bijaya DiRaja Kepada Sultan Perak, Kolonel Datuk Abd Rahim Mohamad Nor (Bersara) berkata pada timbangan baginda, Saarani boleh mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada Ahli Dewan Negeri untuk dilantik sebagai Menteri Besar Perak.
Katanya, ia adalah berpandukan Perkara XVI, Fasal 2 (a), Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.
Berikutan itu, beliau berkata, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menetapkan jam 11 pagi esok untuk upacara angkat sumpah Menteri Besar di Istana Iskandariah.
Terdahulu, Barisan Nasional (BN) serta PAS dan Bersatu bersetuju menamakan Saarani yang juga Adun Kota Tampan sebagai Menteri Besar yang baharu untuk diperkenankan Sultan Perak.
Persetujuan itu dicapai atas semangat pemuafakatan Perikatan Nasional (PN) membabitkan Bersatu dan PAS serta BN.
Sebentar tadi, tiga Adun PAS serta beberapa Adun dari Bersatu menghadap Sultan Perak di Istana Kinta, dipercayai bagi menyatakan pendirian mereka menyokong Saarani sebagai Menteri Besar. – Malaysiapost

