100,000 hilang kerja ketika PKPB fasa kedua

0
1

[PARLIMEN] HAMPIR 100,000 orang hilang pekerjaan atau diberhenti kerja akibat kesan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kali kedua, mulai 14 Oktober lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, data kementerian menunjukkan jumlah perberhentian pekerja mengikut Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga 27 November 2020 adalah 99,696 orang.

Tambah beliau, bagaimanapun dalam tempoh sama, seramai 120,296 daripada 372,934 pencari kerja telah berjaya mendapat pekerjaan.

“Negara telah melalui tujuh bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penyebaran Covid-19. Sejak 10 Jun 2020, PKP Pemulihan telah membenarkan lebih banyak sektor ekonomi beroperasi walaupun perniagaan tidak dapat beroperasi pada paras optimum.

“Pada masa sama, pelbagai pakej rangsangan telah disediakan kerajaan bagi membantu mengurangkan impak negatif pandemik ini terhadap ekonomi termasuk pasaran buruh.

“Oleh yang demikian, penambahbaikan berterusan dapat diperhatikan dalam kedudukan tenaga buruh walaupun pada tahap sederhana,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang), yang meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan berapa jumlah pekerjaan yang terjejas ekoran PKPB kali kedua yang bermula 14 Oktober lalu dan impak kepada industri pekerjaan serta ekonomi buruh secara menyeluruh.

Mengulas lanjut Saravanan berkata, penambahbaikan berterusan dicerminkan oleh pertumbuhan positif bulan ke bulan dalam guna tenaga sejak Jun, serta trend kadar pengangguran yang menurun.

Sementara itu, beliau berkata berdasarkan Survei Tenaga Buruh (STB) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pekerja-pekerja dalam sektor penerbangan, perhotelan dan pelancongan yang paling terjejas akibat pandemik Covid-19.

Katanya, berdasarkan STB juga, kadar pengangguran tertinggi pada 2020 dicatat pada Mei iaitu 5.3 peratus dengan bilangan penganggur seramai 826,100 orang.

“Pemulihan pasaran buruh Malaysia dapat diperhatikan dengan kadar pengangguran menurun kepada 4.9 peratus (773,200 orang) pada Jun dan terus menurun kepada 4.7 peratus (745,100) pada Julai dan kekal pada kadar 4.7 peratus (741,600) pada Ogos.

“Data terkini STB pada September pula menunjukkan kadar pengangguran menurun kepada 4.6 peratus dengan bilangan penganggur seramai 737,500 orang.

“Adalah dijangka kadar pengangguran pada Disember akan melihat penurunan kepada 4.5 peratus dan trend penurunan ini akan berterusan ke tahun 2021,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Program Pengekalan Pekerjaan dan Program Subsidi Upah (PSU) dilaksanakan kerajaan menerusi Perkeso berjaya menyelamatkan kira-kira 300,000 majikan daripada gulung tikar dan 2.72 juta pekerja dari dibuang.

Saravanan berkata dengan peruntukan RM18 bilion, kerajaan berjaya menyelamatkan kira-kira 2.7 juta pekerja di negara ini daripada dipecat menerusi inisiatif PSU.

“KSM melalui Perkeso sudah menambah baik portal JobMalaysia kepada MyFutureJob bagi membantu pekerja yang dibuang kerja mendapat pekerjaan baharu dengan lebih mudah dan cepat.

“Kita juga menyediakan insentif berbeza kepada majikan yang mengambil pekerja dalam kalangan mereka berusia 40 tahun ke atas dan golongan kurang upaya (OKU).

“Inilah antara insentif kerajaan bagi membantu golongan yang hilang pekerjaan dan menurunkan kadar pengangguran akibat penularan pandemik Covid-19 sejak Mac lalu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here