PAS membatalkan rancangan menghantar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta, Ipoh, hari ini.
Tiga Adun parti itu Razman Zakaria (Gunong Semanggol); Mohd Akmal Kamaruddin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah) sepatutnya mengadap baginda pada jam 3 petang tadi.
Razman yang juga Pesuruhjaya PAS Perak, berkata keputusan pembatalan itu dibuat atas arahan pucuk pimpinan parti.
Terdahulu, tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH) tiba di Istana Kinta untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, dilihat tiba menaiki kenderaan secara berasingan jam 2.55 petang tadi, disusuli Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi, yang tiba jam 3.05 petang.
Terdahulu pagi tadi, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas menghadap Sultan Perak memaklumkan Umno telah mempersembahkan surat memohon perkenan mempertimbangkan calon Menteri Besar.
“Pengumuman untuk nama Menteri Besar Perak akan dibuat oleh Tuanku sendiri dan sebarang kenyataan selepas ini akan dikeluarkan oleh pihak istana,” katanya.
Beliau juga memaklumkan Umno amat yakin calon Menteri Besar tersebut telah mendapat sokongan majoriti Adun yang lebih daripada mencukupi.
Dalam satu kenyataan pagi tadi, DAP Perak memaklumkan telah membuat keputusan untuk bekerjasama dengan Umno demi membentuk sebuah kerajaan berbilang kaum yang bersih, kukuh dan stabil.
Pengerusinya, Nga Kor Ming, berkata keputusan dibuat selepas mengambil kira situasi di Perak di mana tiada satu parti mempunyai majoriti membentuk kerajaan yang stabil. – Malaysiapost

