Belajar dari pengalaman UK guna vaksin Pfizer

0
1

MALAYSIA akan memerhati dan mempelajari dari pengalaman United Kingdom (UK) melaksanakan program vaksinasi Covid-19 di negara tersebut yang bermula hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata ini kerana UK menggunakan vaksin sama seperti yang akan diterima Malaysia iaitu daripada Pfizer dan BioNTech.

“Selamat maju jaya buat UK yang memulakan program vaksinasi Covid-19 mereka hari ini.

“Oleh kerana Malaysia akan menerima vaksin sama dalam beberapa bulan mendatang, akan banyak yang dapat dipelajari dan diperhatikan dari pengalaman di UK,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
UK menjadi negara pertama meluluskan vaksin Covid-19 daripada Pfizer dan BioNTech yang menggunakan vaksin itu minggu ini.

Ia selepas kerajaan UK mendapat pandangan daripada Agensi Penguatkuasaan Produk Ubat dan Kesihatan (MHRA) negara itu.

Kebenaran untuk UK menggunakan vaksin Covid-19 secara kecemasan itu menjadi detik bersejarah dalam memerangi wabak berkenaan.

Baru-baru ini, kerajaan melalui Menteri Kesihatan telah menandatangani perjanjian pembelian awal dengan syarikat farmaseutikal Pfizer untuk bekalan vaksin Covid-19 sebanyak 12.8 juta dos.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata perjanjian ditandatangani pada 24 November itu bagi menampung keperluan imunisasi untuk 20 peratus atau 6.4 juta rakyat Malaysia.

Katanya, melalui perjanjian itu, Pfizer menjanjikan penghantaran sejuta dos bagi suku pertama 2021, disusuli 1.7 juta dos pada suku kedua, 5.8 juta dos pada suku ketiga dan 4.3 juta dos pada suku tahun keempat.

Pfizer pada 9 November menyatakan analisis data interim pertama menunjukkan keberkesanan vaksin (vaccine efficacy) tersebut adalah 95 peratus. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here