Mohammad Amirul Saharuddin
PENTAS politik negara sama hangat dengan peningkatan kes Covid dalam negara.
Ini apabila politik di peringkat negeri Perak dibadai ombak kuat dengan jatuhnya Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sekali gus barisan Exco juga turut ikut tumbang.
1- Beliau gagal mendapat kepercayaan dan keyakinan dari Adun di Perak melalui usul undi percaya tersebut. Ini menjadikan negeri Perak menjadi tumpuan lensa kamera media.
2- Saya berpendapat usul undi percaya tersebut yang dibawa oleh Adun Pengkalan Baharu turut di minta disegerakan oleh Adun Temenggor dan Adun Pasir Pinji seolah tidak meletakan kepentingan rakyat didepan serta titah YDP Agong supaya hentikan polemik politik dan fokus kepada Covid-19 termasuklah pembangunan negara. Jika hilang kepercayaan dan keyakinan sepatutnya dari awal pembentukan kerajaan bukan sekarang.
3- Ura-ura mengatakan kejatuhan MP Perak dikaitkan dengan isu penjualan secara terus tanpa tender terbuka tanah sawit kepada sebuah syarikat Singapura, andai terbukti benar maka adalah wajar usul tersebut dibuat. Tapi dengan mengambil kira kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri berhubung Pilihan Raya Umum (PRU) akan dilaksanakan sebaik sahaja Covid reda, sepatutnya adun kerajaan negeri perak meneruskan perhatian terhadap kebajikan negeri dan seharusnya tukar apabila sampai waktunya.
4- Dikatakan usul tersebut lebih fokus kepada penukaran MB sahaja dan bukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini juga akhirnya menyebabkan pentadbiran kerajaan negeri Perak sekali lagi kucar-kacir.
Kemusykilan yang saya cuba timbulkan di sini lebih terarah kepada Adun Pasir Pinji yang juga merangkap Ketua Pemuda DAP Malaysia dilihat seolah beria-ria dengan usul undi percaya ini.
Adakah desakan disegerakan usul yang beliau bangkitkan ini memang menjaga kepentingan rakyat negeri serta pentadbiran negeri Perak ataupun dendam apabila parti Bersatu termasuk Peja beralih kepada kerajaan sekarang ni dan akhirnya beliau hilang kuasa sebagai Exco.
Kalau benar menjaga kepentingan negeri Perak baguslah. Ini kerana semasa beliau berada dalam barisan kepimpinan Peja selepas PRU14, tiada sedikit pun angin yang lalu kita dengar bahawa beliau bakal mengusulkan sebarang desakan usul baik undi percaya ataupun usul undi tidak percaya disegerakan.
5- Tetapi dengan secara tiba-tiba bila hilang posisi selaku Exco Perak, beliau mahukan undi percaya ini disegerakan. Persoalannya kenapa sekarang?? Kenapa tak dari awal?? Ataupun DAP nampak peluang untuk kembali ke tampuk pucuk pimpinan kerajaan negeri Perak apabila Adun Pengkalan baharu membawa usul ini ke dalam dewan.
Ini ditambah lagi dengan kenyataan pengerusi DAP Perak apabila menyatakan mereka terbuka untuk bekerjasama dengan Umno Perak namun ditolak oleh segelintir adun mereka sendiri.
6- Kesimpulan akibat yang boleh dibuat dari isu kerajaan negeri perak ini ialah umpama “buang kulat di sebahagian roti, habis sebiji roti tak boleh dimakan”.
7 -Secara keseluruhan kenyataan saya ini ialah mengambil kira kestabilan politik Perak kerana jika mengatakan kerajaan Perak hanya memiliki majoriti kecil adakah MB Perak yang baru ini juga bakal berdepan situasi yang sama seperti peja.
Lebih baik sikit dari tak dapat langsung. Justeru saya berharap pemimpin Perikatan Nasional di peringkat pusat boleh duduk berbincang bersama dan menghasilkan satu perpaduan yang turut dapat dirasai oleh rakyat di Perak.
8- Dewan Pemuda Ikatan Perak juga ingin mengingatkan sekali lagi kepada rakyat termasuklah pemimpin politik agar terus mematuhi SOP dan jangan sekali-kali putus harapan untuk merasai kehidupan seperti sedia-kala.
Penulis adalah Ketua Dewan Pemuda Ikatan Perak
(Kenyataan ini diambil tanpa suntingan dan tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiapost)

