Tak sangka pulang sebagai jenazah

0
1

BAPA mentua Syafiq Ahmad tidak menyangka menyambut isteri dan cucunya hari ini pulang ke rumahnya di Padang Pusing, Pendang sebagai jenazah.

Norain Shahadan berkata, arwah isteri, Zainab Wahab ada menghubunginya meminta untuk kemaskan rumah.

“Arwah isteri ada hubungi saya dua hari lalu dan minta kemaskan rumah sebab nak bawa balik cucu baru.

“Tapi tak sangka pula dia dan cucu pulang sebagai jenazah,” katanya yang menerima berita sedih itu melalui besannya, Ahmad Ibrahim, 56, yang menghubunginya sekitar 6 pagi tadi.

Katanya, dia ketika itu antara percaya atau tidak apabila dimaklumkan isterinya dan cucu mereka, Muhammad Aisy Saqeef, 22 hari, meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 163 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Plaza Tol Jawi hari ini.

“Saya tidak menyangka, namun reda dengan apa yang berlaku kerana kehilangan isteri dan cucu kedua kami.

“Namun, saya bersyukur anak sulung, Nur Amalina, 25, menantu, Syafiq Ahmad, 25, serta cucu sulung, Aaira Nur Saffiyya, 2, selamat,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Turut terbunuh dalam kemalangan itu, pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an.

Menurut Norain, dia terkilan kerana tak sempat menatap wajah cucu barunya yang dilahirkan pada 14 November lalu dan hanya melihat melalui WhatsApp kumpulan keluarga di telefon bimbit.

Katanya, dia memang teruja mahu berjumpa cucu sulung lelaki, namun tidak kesampaian.

“Saya sempat berbual dengan isteri pun sekejap saja dan dia hanya beritahu nak balik apabila pergerakan rentas negeri dibenarkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tamat, hari ini.

“Sedih memang sedih, tapi apa nak buat, saya terima ketentuan Allah,” katanya.

Katanya, isterinya pergi ke rumah anak dan menantu mereka di Johor sejak perayaan Deepavali lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here