Bersatu, PAS bincang kemelut politik Perak

0
1

BERSATU dan PAS sedang berbincang untuk mencari penyelesaian bagi kemelut politik di Perak.

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, berkata, presiden kedua-dua parti iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedang membincangkan perkara itu.

Menurut beliau, objektif utama perbincangan adalah untuk membuat keputusan isu pembentukan kerajaan Perak dan calon Menteri Besar daripada Umno.

“Di peringkat Bersatu, kita mengambil keputusan untuk merujuk kepada Perikatan Nasional (PN) bagi langkah lanjut. Jadi, kita akan lihat perkembangan terkini dan bincang dengan rakan-rakan kita dalam PN dahulu.

“Bila ada keputusan yang perlu dimaklumkan, kita akan keluarkan kenyataan rasmi,” katanya dipetik daripada laporan FMT.

Terdahulu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan parti itu akan bergabung dengan beberapa parti lain, termasuk Pakatan Harapan (PH) untuk menubuhkan kerajaan Perak.

Katanya, keutamaan Umno ialah mengekalkan jajaran dan kerjasama politik terdahulu, iaitu Muafakat Nasional (MN) dan PN, tetapi apa juga tindakan Umno mesti bertapak pada realiti.

Katanya, perbincangan antara Umno dan parti komponen PN, iaitu Bersatu dan PAS sudah dibuat pimpinan Umno Perak, manakala beliau akan mengadakan perbincangan susulan di peringkat pusat.

Susulan itu, pemimpin PH Perak menyuarakan kesediaan bekerjasama dengan Umno bagi membentuk kerajaan negeri yang kukuh. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here