PENGERUSI Amanah Perak, Asmuni Awi tidak menolak kemungkinan parti itu sanggup bekerjasama dengan parti politik lain di Perak bagi menubuhkan kerajaan negeri yang baharu.
“Tiada yang mustahil apabila tiba masanya untuk membentuk satu gabungan baharu.
“Dalam situasi mencabar ini, kami sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil,” katanya seperti dilapor Bernama.
Asmuni adalah antara tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang diterima menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semalam selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti dalam undi percaya sebagai Menteri Besar di Dewan Undangan Negeri (DUN), kelmarin.
Dua lagi pemimpin PH berkenaan ialah Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Ahmad Faizal hanya memperoleh 10 undi yang menyokong berbanding 48 menolak sementara seorang ahli dewan berkecuali dalam usul undi percaya yang dibawa Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru).
DUN Perak terdiri daripada 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno, 16 DAP, lima Bersatu, lima Amanah, tiga PKR, tiga PAS dan masing-masing satu daripada Gerakan dan Bebas. – Malaysiapost

