Adun Pokok Assam ajak DAP tolak calon MB Umno

0
2

Fitri Nizam

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Pokok Assam, Leow Thye Yih meminta rakan-rakan DAP Perak menolak mana-mana calon Menteri Besar daripada Umno.

Pendirian itu dibuat Thye Yih berdasarkan beberapa insiden yang pernah membabitkan Umno sebelum ini.

Thye Yih berkata, beliau mula menyertai DAP pada 2009 disebabkan Barisan Nasional (BN) yang diketuai Umno telah menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Perak.

Katanya, peristiwa tersebut merupakan sejarah hitam yang tidak dapat dilupakannya.

“Keduanya, negara kita telah mencipta sejarah pada Pilihan Raya Umum ke-14 di mana atas sokongan padu rakyat, Pakatan Harapan (PH) telah menumbangkan kerajaan BN dan buat kali pertamanya membentuk kerajaan pusat dan beberapa kerajaan negeri.

“Akan tetapi, Umno sekali lagi pada tahun ini merampas kerajaan PH, kerajaan negeri Perak serta beberapa kerajaan negeri PH lain.

“Tindakan Umno sedemikian telah jelas menderhaka mandat rakyat,” katanya menerusi laman sosial Facebook, hari ini.

Thye Yih berkata, kedua-dua peristiwa tersebut mengingatkan supaya beliau tidak akan menyokong mana-mana calon daripada Umno sebagai Menteri Besar Perak yang berikutnya.

“Saya berharap dan menyeru rakan-rakan sepejuangan DAP khasnya Adun DAP Perak menyokong pendirian saya dan seterusnya menolak mana-mana calon daripada Umno sebagai Menteri Besar Perak berikut,” katanya.

Kemelut politik di Perak bermula apabila Umno mengusul undi percaya kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Susulan itu, Ahmad Faizal disingkir apabila hanya mendapat 10 undi sokongan daripada Adun Perak manakala 48 lagi mengundi untuk tidak menyokongnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here