Krisis Perak: Bersatu Johor boleh balas dendam

0
1

BEKAS Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian membayangkan kemelut politik di Perak mungkin boleh berlaku di negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas itu berkata, Bersatu Johor barangkali boleh membalas dendam terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad dari Umno.

Beliau mengakui terkejut apabila Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu digulingkan kerana Umno dan Bersatu telah menjadi anggota gabungan yang membentuk kerajaan Persekutuan dan negeri selama lapan bulan.

“Lebih-lebih lagi Ahmad Faizal merupakan timbalan presiden Bersatu, sudah tentu mengguris perasaan kami selaku ahli parti.

“Saya sendiri selepas mendengar berita ini amat terkejut dan sedih sedangkan kita bersama lebih lapan bulan membentuk kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Kalau ikutkan, boleh jadi balas dendam dengan melakukan perbuatan sama kepada menteri besar daripada Umno (di Johor),” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Osman berkata, kepemimpinan Bersatu lebih berhak untuk memutuskan hal berkenaan, namun beliau enggan mengulas panjang kerana tidak berada dalam kepimpinan negeri.

“Kita tengok dahulu sama ada ia boleh berlaku di Johor atau sebaliknya.

“Namun segalanya terserah kepada keputusan kepimpinan parti sama ada di peringkat pusat dan negeri yang diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here