RUSUHAN di Plaza Low Yat di Bukit Bintang semalam mencetuskan kebimbangan penularan kluster baharu Covid-19 – Kluster Low Yat – mungkin muncul tidak lama lagi.
Ia selepas puluhan, malah mungkin ratusan individu termasuk yang sekadar memerhati dari jauh kelihatan berkumpul tanpa penjarakan fizikal, selain bersentuhan apabila bergaduh dalam jumlah yang ramai.
Berdasarkan komen-komen netizen di laman sosial, rata-rata marah dengan tindakan kumpulan perusuh terbabit yang kemungkinan boleh mencetus kluster baharu.
Setakat ini, seramai 44 individu yang terbabit dalam rusuhan itu direman tiga hari bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata mereka ditangkap kerana merusuh sehinggga mengganggu ketenteraman awam.
“Kes disiasat dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana merusuh.
“Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan mematuhi undang-undang sedia ada.
“Orang ramai juga dinasihat supaya bersama-sama menjaga keharmonian masyarakat agar kita semua dapat hidup dalam keadaan aman sejahtera dan PDRM juga memohon orang ramai agar tidak menularkan video yang boleh mendatangkan kegusaran awam” katanya dalam kenyataan.
Mohamad Zainal juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian tiada sebarang kaitan pergaduhan antara kaum, sebaliknya membabitkan lelaki yang tidak berpuas hati apabila pelanggan mereka diambil peniaga lain.
“Tangkapan terdiri daripada pemilik kedai, pekerja dan orang awam berumur lingkungan 20 hingga 35 tahun,” katanya. – Malaysiapost

