Elok Umno kemuka usul undi percaya kepada MB Johor esok – Salahuddin

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

TIMBALAN Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayob mencadangkan Umno Johor mengemukakan usul undi percaya kepada kepimpinan Menteri Besar Johor.

Ia susulan esok hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk meluluskan belanjawan negeri bagi 2021.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simpang Jeram itu berkata, isu keabsahan sesebuah kerajaan mula menjadi perhatian dan penting untuk rakyat melihat adakah kerajaan yang ada hari ini, sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri, memiliki keabsahan itu.

“Saya merasakan elok sekiranya Umno mengemukakan usul undi percaya kepada kepimpinan Menteri Besar Johor untuk membuktikan adakah kerajaan negeri ini benar-benar dapat bertahan dan bermaruah untuk terus mentadbir negeri Johor.

“Usul percaya ini akan dapat membuktikan keabsahan dokongan dan sokongan wakil-wakil Bersatu masih kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor.

“Besar kemungkinan sesuatu yang penting akan berlaku esok semasa hari terakhir sesi penggulungan belanjawan negeri yang mungkin akan memanaskan lagi suhu politik kerajaan PN di Johor,” katanya hari ini.

Terdahulu, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian membayangkan kemelut politik yang terjadi di Perak mungkin boleh juga berlaku di itu.

Adun Kempas itu berkata, Bersatu Johor barangkali boleh membalas dendam terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad yang berasal dari Umno.

Beliau mengakui terkejut apabila Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu digulingkan kerana Umno dan Bersatu telah menjadi anggota gabungan yang sama yang membentuk kerajaan persekutuan dan negeri selama lapan bulan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here