Jangan campur urusan kami, Pemuda Umno Kelantan bidas Pemuda MCA

0
1

Muhammad Mustakim Ramli

PEMUDA Umno Kelantan membidas kenyataan Naib Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Chua Hock Kuan kerana didakwa mencetuskan tuduhan tidak berasas kepada Umno Perak.

Ia susulan krisis politik di negeri itu apabila Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hilang sokongan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, semalam.

Ketua Pemuda Umno Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor, berkata pemimpin MCA itu tidak seharusnya mempertikaikan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno Perak.

“Ia akan memberi impak negatif kepada hubungan sebagai komponen BN (Barisan Nasional). Kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

“Mereka (Umno Perak) tidak pernah melanggar dasar parti. Mereka tidak pernah menyokong DAP. Mereka hanya ingin menukar Menteri Besar dengan cara sah dan mengekalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak dengan sokongan PAS dan Bersatu.

“Jangan biadap mempertikaikan semangat setiakawan Umno. Hock Kuan jangan lupa bagaimana pengorbanan jentera Umno bergalang ganti dan separuh nyawa berkempen untuk kemenangan calon MCA di Tanjong Piai demi memberi manifestasi kekuatan Muafakat Nasional (MN),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Pemuda Umno Kelantan memberi amaran keras kepada Hock Kuan supaya jangan mencampuri urusan parti berkenaan.

“Jangan lagi mengharap undi kawasan Melayu untuk memenangkan calon anda.

“Perkuatkan parti anda untuk menarik sokongan orang Cina kembali bagi menyumbang kerusi kepada BN. Kami tuntut permohonan maaf dari anda,” katanya.

Hock Kuan semalam menerusi Facebook mempersoalkan disiplin Adun Umno Perak yang membelakangi dasar diputuskan parti itu iaitu tanpa kerjasama DAP dan tanpa Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Apapun alasan diberi hanyalah matlamat menghalalkan cara, perkara yang boleh dijadikan alasan itu bagai orang mengantuk disorongkan bantal dan ketidakpuasan hati dijadikan perisai.

“Namun, mana lagi setiakawan Umno Perak terhadap parti-parti komponen BN yang lain MCA-MIC apabila mula bermain mata dengan DAP. Membelakangi Piagam MN dan persefahaman PN.

“Kepimpinan tertinggi Umno perlu mengambil langkah bijak menangani isu ini supaya tidak dilihat lemah dan tidak dapat mengawal Umno peringkat negeri,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here