Dulu Semporna digeruni, sekarang cuma satu kes baharu

0
1

DARIPADA sebuah daerah yang digeruni kerana mencatatkan kes harian Covid-19 tertinggi terutama ketika awal gelombang ketiga, Semporna semalam hanya merekodkan satu kes baharu.

Berikutan itu, kerajaan Sabah menyifatkan Semporna – daripada kawasan paling teruk terjejas kepada antara daerah paling sedikit kes positif – wajar dijadikan contoh kejayaan usaha mengekang penularan Covid-19.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata kejayaan itu adalah hasil usaha keras petugas barisan hadapan dan penduduknya membantu menghalang penularan Covid-19.

“Sebelum ini daerah Semporna adalah daerah yang digeruni kerana paling tinggi kes positif Covid-19. Namun, kini (semalam) hanya ada satu kes positif di sana.

“Kita berterima kasih kepada petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertungkus-lumus menangani kes Covid-19 di sana dan ditambah lagi kerjasama baik penduduknya.

“Sehubungan itu, ia wajar dijadikan contoh dan memberi motivasi kepada penduduk di daerah lain untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha menurunkan kes positif Covid-19,” katanya di Kota Kinabalu malam tadi.

Sabah mencatat 320 kes positif baharu Covid-19 semalam dengan Kota Kinabalu mencatat kes tertinggi iaitu 72.

Sehingga kini, Sabah merekodkan kumulatif kes sebanyak 29,897, manakala 27,046 kumulatif kes sembuh termasuk 405 orang dibenarkan keluar hospital semalam.

Sementara itu, Masidi berkata statistik kes Covid-19 di Sabah dijangka meningkat beberapa hari akan datang susulan Jabatan Kesihatan akan meningkatkan ujian saringan di lokasi disyaki mempunyai kebarangkalian jangkitan virus yang tinggi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here