SEORANG gadis yang pernah tular menghadapi masalah obesiti menuntut pampasan mencecah ratusan ribu ringgit daripada seorang usahawan kosmetik selepas mendakwanya dimanipulasi dan dieksploitasi.
Nurul Airawani Nazira Ibrahim, 23, atau lebih dikenali sebagai Wani Comel yang beratnya pernah mencecah 300 kilogram (kg), mendakwa kontraknya sebagai duta produk kurus yang ditandatangani pada September 2019 hanya memberi keuntungan sebelah pihak sahaja.
Selain tidak mendapat manfaat seperti yang dijanjikan, Wani sedar kontrak yang ditandatanganinya tidak jelas.
“Janji jaga kebajikan saya, keluarga saya. Mereka cakap boleh tanggung saya buat pembedahan potong usus (bariatrik), saya setuju. Awalnya saya tidak setuju tapi mereka cakap boleh jamin saya senang.
“Perjanjian yang diberi akan tolong saya, keluarga saya dan tolong saya sampai berjaya. Kata nak bagi rumah, bagi kereta menyara hidup saya dan keluarga,” katanya pada sidang media seperti lapor Malaysiagazette hari ini.
Mendedahkan kekecewaannya, Nurul Airawani Nazira yang berasal dari Jerantut, Pahang itu memaklumkan syarikat kosmetik jutawan itu tidak lagi bertanggungjawab terhadapnya seperti yang dijanjikan sebelum ini selepas menjalani pembedahan bariatrik yang ditaja.
Malah ujarnya, kontrak yang ditandatangani itu dibuat selepas menjalani pembedahan tanpa memberi penjelasan secara terperinci mengenai habuannya sebagai duta produk kurus syarikat berkenaan.
Wani mendakwa, bayaran keseluruhan yang diterimanya sepanjang mempromosikan produk itu kurang RM1,000 meskipun sebelum ini dijanjikan bayaran bulanan sebanyak RM3,500.
“Selepas selesai pembedahan dan keluar dari hospital saya dibiarkan begitu sahaja. Saya tidak buat rawatan susulan sampai sekarang. Laporan kesihatan saya pun tidak dipegang oleh saya tetapi pihak sana (usahawan kosmetik itu),” katanya.
Akibat tidak menjalani rawatan susulan selepas pembedahan bariatrik, Wani kini mengalami kesan sampingan iaitu sakit pada perut setiap kali makan.
“Sebelum pembedahan saya tidak sakit pun perut,” tambahnya.
Kehidupannya juga dengan keluarga tidak berubah, sebaliknya katanya kekal susah.
Selain itu, Wani turut mendakwa pernah digertak oleh wakil usahawan berkenaan kerana tidak berpuas hati apabila situasi sebenar terdedah selepas menerima bantuan daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan sumbangan.
Wani juga mengaku dikecam oleh netizen yang dianggapnya tidak mengetahui situasi sebenar menyebabkan dia tertekan dan bersedih.
Sehubungan itu, gadis berkenaan menuntut agar usahawan kosmetik berkenaan membayar pampasan, membayar upahnya sebagai duta dan janji-janji yang lain.
Jika diberikan peluang bersemuka, Wani menetapkan ia perlu diadakan tanpa syarat dan dihadiri media.
“Tunaikanlah apa yang dijanjikan, saya pun manusia. Saya bukan binatang, bukan. Saya bukan anak lembu, bukan anak kucing,” katanya.
Sementara itu, peguamnya, Haziq Aizuddin Subhi memaklumkan sudah menghantar surat tuntutan kepada usahawan berkenaan bagi menyelesaikan masalah itu.
“Tuntutan memberi tepoh tujuh hari bagi pihak sana untuk perkara ini selesai. Kita akan hantar notis kedua dan jika tidak ada respon, kita terpaksa ambil jalan terakhir, mungkin ke mahkamah,” katanya lagi.
Terdahulu, Haziq berkata, kontrak yang disediakan oleh syarikat usahawan itu tidak jelas. – Malaysiapost

