AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu mesti dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Presiden Angkatan Baru Malaysia, Muzzammil Ismail berkata, usul undi percaya di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini didakwa melibatkan jawatan Menteri Besar sahaja dan Adun Bersatu perlu menggantikannya tanpa mengubah status kerajaan negeri.
“Ini demi kesepakatan Muafakat Nasional (MN)-Perikatan Nasjonal (PN) dan juga semangat setiakawan.
“Jangan pula ada pihak yang sanggup bersekongkol dengan pembangkang (Pakatan Harapan) demi kerana kuasa,” katanya.
Menurutnya, usul undi percaya yang berlaku pada hari ini telah menguji tahap kematangan politik antara Bersatu-PAS dan Umno.
Katanya, perkara ini akan menyebabkan politik negara berkocak kembali setelah beberapa minggu dalam keadaan tenang.
Hari ini, Ahmad Faizal gagal memperoleh sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya yang diusulkan Adun Pengkalan Bharu, Datuk Abdul Manaf Hashim.
Daripada 59 Adun, hanya 10 yang menyokong, manakala 48 lagi membantah dan satu undi rosak dalam undi belah bahagi yang ditetapkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.
Sementara itu, Pemuda Umno Perak yakin bahawa pertukaran Menteri Besar sama sekali tidak akan merubah status kerajaan negeri yang masih utuh dan kekal padu berteraskan kerjasama parti dalam MN dan PN.
Ketua Pemuda UMNO Negeri Perak, Mohd Ariff Abdul Majid, berkata Pemuda Umno Perak mengajak seluruh rakyat memberi kepercayaan dan dokongan penuh kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak bagi mempertimbangan dengan penuh kebijaksanaannya untuk memilih Menteri Besar yang baharu seperti termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.
Menurutnya, Pemuda Umno menumpahkan sepenuh taat setia dan akan sentiasa akur dengan apa jua keputusan yang bakal dibuat oleh Sultan Perak berkaitan perlantikan Menteri Besar yang baharu.
“Keputusan yang tidak terjangka ini tentunya mencetuskan polemik dan kegusaran kepada rakyat dengan pelbagai spekulasi yang tidak benar mula dibangkitkan terutamanya di media sosial.
“Hakikat yang tidak disedari, isu pertukaran Menteri Besar Perak ini bukan sesuatu yang baru memandangkan ia pernah berlaku sebelum ini tanpa melibatkan sebarang proses Pilihan Raya Negeri.
“Keputusan yang dibuat oleh majoriti Adun pada hari ini sudah tentu mempunyai asas pertimbangan tertentu dengan penuh bertanggungjawab bagi memastikan amanah rakyat Perak sentiasa terpelihara,” katanya.-Malaysiapost

