KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digesa untuk mempermudahkan ahlinya mengeluarkan wang caruman dari akaun 1 mereka tanpa sebarang syarat.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan KWSP yang mengenakan beberapa syarat dalam skim i-Sinar ternyata bercanggah dengan harapan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Saya membaca dan mendengar semua keluhan dari suara rakyat yang kecewa dengan syarat-syarat dikenakan pihak KWSP berkenaan pengeluaran i-Sinar akaun 1 KWSP.
“Ternyata nada pengurusan KWSP amat berbeza dengan harapan positif yang diberikan oleh Menteri Kewangan ketika sesi penggulungan peringkat dasar Belanjawan 2021 tempoh hari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Zahid menegaskan, KWSP juga mesti memberi ahlinya pilihan untuk mengeluarkan duit caruman secara one off dengan jumlah maksimum RM10,000
“Di saat rakyat sedang kesempitan dalam menghadapi keadaan luar biasa pandemik, amat wajar sekali kita mempermudahkan dan menyantuni keperluan mereka.
“Justeru, saya meminta pihak KWSP untuk mempermudahkan pihak pencarum bagi mengeluarkan wang simpanan mereka tanpa mengenakan sebarang syarat dan diberikan pilihan untuk mengeluarkan secara one off sebanyak RM10,000 maksimum,” katanya.
Rabu lalu, rata-rata rakyat meluahkan perasaan tidak puas hati mereka di media sosial kerana kecewa dengan beberapa syarat yang dikenakan oleh KWSP berkenaan program i-Sinar akaun 1.
Malah, rakyat telah membanjiri media sosial para pemimpin Umno untuk meluahkan keresahan hati mereka dan meminta agar Umno dapat membuat sesuatu untuk mendesak KWSP memudahkan syarat pengeluaran wang simpanan mereka. -Malaysiapost

