Muhyiddin panggil pemimpin Bersatu

0
1

PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka memanggil beberapa pemimpin termasuk menteri daripada parti itu ke pejabatnya di Putrajaya, petang ini.

Berita Harian melaporkan, sumber parti itu mengesahkan pertemuan berkenaan yang antara lain bagi membincangkan berkenaan kemelut politik Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, gagal memperoleh sokongan majoriti ADUN dalam usul undi percaya dalam sidang DUN, pagi tadi.

Ahmad Faizal adalah Timbalan Presiden Bersatu ketika ini.

“Ya..ada mesyuarat petang ini. PM (Perdana Menteri) panggil termasuk menteri Bersatu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat menjelaskan intipati mesyuarat berkenaan yang diadakan selepas selesai mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Difahamkan, antara yang hadir dalam pertemuan itu, Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Naib Presiden Bersatu yang juga Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof juga antara yang hadir selain beberapa pimpin Bersatu lain.

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, tengahari tadi memaklumkan parti itu akan mengadakan perbincangan khas berhubung kemelut baru yang melanda politik Perak membabitkan Menteri Besar mereka.

“Perkara ini insya Allah akan dibincangkan pimpinan Bersatu dan saya harap kita sama-sama tunggu pandangan rasmi parti nanti,” katanya di Facebook beliau hari ini.

Ahmad Faizal hari ini gagal memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul undi percaya.

Sebanyak 48 undi tidak menyokong usul berkenaan dan hanya 10 yang menyokong manakala terdapat satu undi rosak atau berkecuali.

Beliau dijadual mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, petang ini. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here