SABAH mengumumkan pembukaan semula pintunya kepada pengunjung dari Semenanjung, Sarawak dan Labuan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, kemasukan ke negeri itu hanya memerlukan laporan negatif ujian saringan Covid-19 yang dibuat tiga hari sebelum bertolak.
Menurutnya, syarat yang lebih longgar itu ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) baharu yang dipersetujui kerajaan negeri sejajar penambahbaikan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) secara berperingkat.
“Kerajaan negeri bersetuju membenarkan kemasukan individu ke Sabah untuk tujuan sosial. Ia membabitkan kemasukan domestik bagi pemegang MyKad, MyPR, MyKAS; pemegang pas imigresen jangka panjang bukan warganegara yang sah tempoh dan suami atau isteri kepada rakyat Sabah dan tanggungan,” katanya pada sidang media hari ini seperti dilapor Berita Harian.
Bagaimanapun, menurutnya, kemasukan orang bukan warganegara yang tidak memiliki pas imigresen jangka panjang wajib mendapatkan kelulusan khas daripada kerajaan negeri.
Masidi yang juga jurucakap Covid-19 Sabah berkata, semua individu yang memasuki Sabah melalui pintu masuk udara, laut dan darat hanya perlu menjalani calitan ujian pengesanan RT-PCR atau RTK-Ag Covid-19 tiga hari sebelum perjalanan.
Katanya, keputusan itu juga adalah usaha kerajaan untuk memulihkan pelancongan domestik secara berperingkat menerusi kemasukan pengunjung dari negeri lain.
“Kita juga mengambil kira ada rakyat Sabah mahu pulang untuk menyambut Krismas bersama keluarga pada akhir bulan ini,” ujarnya. – Malaysiapost

