Speaker perkenal mekanisma baharu undi belah bahagi

0
1

Fitri Nizam

[Parlimen] DEWAN Rakyat hari ini diperkenalkan dengan mekanisma baharu untuk menjalankan undi belah bahagi dengan lebih telus supaya kesilapan pengiraan tidak berulang.

Bagi manambahbaik pengiraan undi, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, memperkenalkan pemerhati dari pihak lawan bagi setiap penghitung undi.

“Bagi memastikan pengundian dijalankan secara teratur, ketua penghitung undi bagi setiap blok pembangkang mahu pun kerajaan akan diiringi oleh pemerhati dari pihak berlawanan,” katanya.

Justeru, pada pengundian belah bahagi bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa (MITI) hari ini perkara itu dilaksanakan.

Untuk undian hari ini, Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) dipantau oleh Chang Lih Kang (PH-Tanjung Malim); Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) dipantau oleh V Sivakumar (PH-Batu Gajah); Datuk Shahbudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) dipantau oleh Noor Amin Ahmad (PH-Kangar); Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) dipantau oleh Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat); Wong Shu Qi (PH-Kluang) dipantau oleh Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (PN-Sabak Bernam); Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) dipantau oleh Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas); Mohd Hatta Ramli (PH-Lumut) dipantau oleh Datuk Salim Sharif (BN-Jempol); Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) dipantau oleh Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian); Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) diperhatikan oleh Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti).

Pemerhati juga diminta untuk mengundi terlebih dahulu sebelum memantau blok yang ditugaskan.

Mekanisma baharu ini diperkenalkan selepas Shabudin tersilap menandakan undi sokongan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) ketika undi belah bahagi bagi peruntukan Belanjawan 2021 untuk Kementerian Kewangan pada Isnin lalu, sedangkan Nazri tiada di dalam dewan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here