PADAH ‘skodeng’, seorang lelaki dijatuhkan hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini selepas mengaku bersalah atas perbuatan mengintai jirannya yang sedang mandi di bilik air, pertengahan bulan lalu.
Tertuduh, Chung Wai Yan, 24, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia melakukan perbuatan itu terhadap jirannya di sebuah kediaman di Taman Setia Indah pada jam 7.15 pagi, 13 November lalu.
Atas kesalahan itu, dia telah didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum lima tahu atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kosmo melaporkan, kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Bennedict Choong Kai Qi manakala tertuduh diwakili peguam bela, Jihhad Syahida Nadia Zakaria.
Sebelum ini, media melaporkan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd Zain dalam satu kenyataan berkata, mangsa yang berusia 23 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian pada 17 November lalu.
Berdasarkan laporan itu, mangsa menyedari dirinya diintai selepas mengesan terdapat pergerakan orang di tingkap tandas yang terbuka.
“Mangsa yang baru menyewa di kediaman tersebut selama kira-kira dua bulan turut memaklumkan perkara itu merupakan kali kedua ia berlaku.
“Bagi membuka dakwaannya, mangsa telah merakam pergerakan suspek namun wajahnya tidak begitu jelas kelihatan,” katanya. -Malaysiapost

