TIMBALAN Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan menyatakan kekecewaan terhadap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berhubung tindakan merobohkan kuil Hindu di negeri berkenaan.
Menerusi kenyataan, Menteri Sumber Manusia itu berkata, Sanusi telah memungkiri janji yang dibuat kepada beliau serta Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique pada Julai lalu.
“Semasa perbincangan pada 26 Julai lalu, Menteri Besar Kedah berjanji untuk memaklumkan kepada Datuk Halimah dan saya terlebih dahulu sekiranya ada kuil yang akan dirobohkan.
“Jaminan itu bukan sahaja untuk kuil Hindu tetapi untuk semua tempat beribadat di Kedah. Namun, saya terkejut apabila beliau memungkiri janji dan merobohkan kuil di negeri itu, baru-baru ini,” katanya menerusi kenyataan.
Saravanan berkata tindakan Sanusi itu dikhuatiri akan mengurangkan sokongan masyarakat India pada masa akan datang yang beranggapan mereka ditipu.
“Menteri Besar Kedah seharusnya menjelaskan mengapa kuil itu dirobohkan tiba-tiba tanpa perbincangan. Ini juga adalah penyalahgunaan kuasa.
“Saya menggesa Menteri Besar untuk menjelaskan pendiriannya mengenai kuil dan tempat ibadat di Kedah. MIC juga ingin meminta penjelasan PAS Pusat mengenai isu ini,” katanya. -Malaysiapost

