RM100 juta selenggara sekolah tahfiz, pondok, SAR

0
1

Fitri Nizam

[PARLIMEN] SEBANYAK RM100 juta diperuntukkan bagi tujuan penyelenggaraan sekolah tahfiz, sekolah pondok berdaftar dan sekolah agama rakyat (SAR) pada 2021.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata peruntukan itu disediakan menerusi Butiran B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan di bawah butiran 021300 – Pemberian Kemudahan Projek Khas.

“Butiran B11 disediakan RM922 juta, berdasarkan amalan digunakan untuk membiayai langkah tambahan diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2021.

“Antara langkah ucapan belanjawan turut dibiayai bawah peruntukan ini ialah keperluan tambahan RM120 juta bagi penambahbaikan Rancangan Makanan Tambahan bagi pelajar miskin,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Teo Nie Ching (PH-Kulai) mengenai butiran dan program di bawah Bekalan 11, Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2021.

Zafrul berkata, peruntukan sama turut membabitkan geran padanan bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ‘social enterprise’ bernilai RM100 juta terutamanya bagi program peningkatan pendapatan golongan rentan.

“Selain itu ia bagi menangani isu sosial seperti penderaan kanak-kanak dan gelandangan, serta pelbagai langkah menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.

“Ia termasuk perluasan subsidi pengangkutan awam bas, geran untuk Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA), pusat aktiviti warga emas dan perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bergerak bagi pedalaman Sabah dan Sarawak,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here