Fitri Nizam
[Parlimen] SERAMAI 99,696 orang kehilangan pekerjaan sejak Januari sehingga 27 November tahun ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim, berkata antara sektor yang terkesan adalah pengilangan, penginapan, makanan, pemborong runcit, pembinaan, pengangkutan dan lain-lain.
Beliau berkata, berdasarkan rekod Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) antara punca kehilangan pekerjaan yang direkodkan adalah penutupan perniagaan, pengecilan operasi, skim perpisahan sukarela (VSS) dan skim perpisahan bersama (MSS).
Selain itu, antara faktor lain adalah akibat syarikat mengalami masalah kewangan kritikal diikuti dengan penutupan separa, pengambilalihan syarikat dan penempatan semula syarikat.
“Daripada jumlah itu, seramai 81,217 orang hilang pekerjaan walaupun Program Subsidi Upah dan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) dilaksanakan oleh kerajaan.
“Kerajaan telah membuat pelbagai usaha untuk kita mengurangkan pembuangan kerja dan pemberhentian pekerja,” katanya dalam Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dibangkitkan M Kulasegaran (PH – Ipoh Barat).
Awang berkata, menurut rekod Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), bilangan kehilangan pekerjaan kategori pengurus adalah 13,109 orang.
“Selain itu, kategori profesional pula melibatkan 26,079 orang dan kategori juruteknik serta bersekutu adalah 19,095 orang.
“Kategori tersebut adalah yang berpendapatan RM4,000 ke atas. Mereka tidak termasuk dalam skim perlindungan yang kita beri iaitu bergaji di bawah RM4,000,” katanya.
Selain itu, Ahli Parlimen Pendang itu berkata, berdasarkan rekod Perkeso, dianggarkan 75 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja yang terjejas akibat kehilangan pekerjaan adalah daripada golongan B40 yang berpendapatan RM4,000 ke bawah.
“Jadi tidak banyak melibatkan golongan berskill tinggi seperti yang dibangkitkan,” katanya. – Malaysiapost

