Muhammad Mustakim Ramli
KERAJAAN diminta menimbang kembali keputusan pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan harapan setiap keputusan dilakukan dengan ikhlas yang dapat memanfaatkan rakyat.
Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan, berkata sekarang jelas hanya sebahagian pencarum yang layak untuk memohon pengeluaran caruman mereka dalam akaun 1 dan pengeluaran itu bukan lagi diberi sekali gus tapi berperingkat-peringkat.
“Ini adalah satu keputusan sangat mendukacita pencarum yang sangat berharap dengan pengeluaran sekaligus ini, dapat melaksanakan pelbagai perancangan seperti untuk memulakan perniagaan baru, menyelesaikan hutang-hutang tertunggak dan sebagainya.
“Dengan keputusan kerajaan untuk membenarkan pengeluaran dalam tempoh 6 bulan ini, segala perancangan terkubur dan hancur. Kenapa susah sangat untuk kerajaan meluluskan permintaan rakyat ini?,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut tertanya-tanya, jika kerajaan bersetuju pada dasar untuk meluluskannya mengapa tidak dengan cara yang dapat memberi impak semaksimumnya kepada rakyat.
“KWSP seharusnya membenarkan pengeluaran sukarela secara one-off, dengan pengeluaran maksimum RM10,000 kepada semua pencarum tidak mengira mereka terjejas mahu pun tidak.
“Dalam situasi krisis ekonomi kini, pada saya, tidak perlu untuk KWSP memikirkan soal bersasar mahu pun tersasar, kerana apa yang diperlukan rakyat sekarang hanya pengeluaran simpanan sendiri bukanlah dana tambahan bantuan daripada kerajaan.
“Ya, saya ulang sekali lagi, rakyat mahu pengeluaran simpanan sendiri yang dipermudahkan,” katanya.
Zahida berkata, hampir kesemua rakyat terjejas dengan keadaan semasa, walaupun sesetengah mereka tidak seteruk rakan yang lain.
“Jika semua pencarum dibenarkan mengeluarkan sebahagian caruman mereka, mereka yang kurang terjejas boleh mengunakan wang tersebut untuk membayar sebahagian hutang bank mereka atau untuk lain-lain keperluan.
“Sekarang ini dengan kerajaan mengenakan pelbagai prasyarat untuk mengeluarkan caruman tersebut, adalah dijangkakan cuma sebahagian sahaja pencarum-pencarum berkelayakan untuk mengeluarkan caruman mereka,” katanya. -Malaysiapost

