DISANGKA panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari, itulah yang dapat digambarkan kepada ayam tambatan baharu Manchester United, Edison Cavani.
Telahan bahawa penyerang kelahiran Uruguay dapat meneruskan ketangkasan seperti mana yang dipamerkan pada perlawanan Liga Perdana Inggeris minggu lalu, ternyata meleset.
Cavani dilihat tumpul ketika United melayan kunjungan bekas pasukannya Paris Saint-Germain (PSG) pada aksi perlawanan Liga Juara-Juara, lewat pagi tadi.
Dalam perlawanan itu, Cavani telah diberi peluang memulakan perlawanan dalam kesebelasan utama, namun penyerang berusia 33 tahun itu seperti hilang punca dan gagal untuk menembusi pertahanan PSG.
Berbanding pada perlawanan Liga Perdana Inggeris minggu lalu, prestasi yang dipamerkan Cavani kali ini ternyata mengecewakan penyokong United yang berkesudahan PSG menang 3-1 di Old Trafford
Kekalahan itu menyebabkan anak-anak buah Ole Gunnar Solskjaer terpaksa memilih jalan sukar untuk melayakkan mereka ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.
Solskjaer harus menyalahkan dirinya sendiri susulan kegagalan taktikal yang digunakan dalam perlawanan itu sehingga menyebabkan United tiada pilihan lain selain menewaskan RB Leipzig dalam aksi terakhir untuk melangkah ke peringkat seterusnya.
Solksjaer sepatutnya mengeluarkan pemain tengah, Fred pada babak kedua setelah pemain itu dilayangkan kad kuning pada babak pertama.
Namun risiko diambil pengendali dari Norway itu telah membawa padah kepada United apabila Fred akhirnya dilayangkan kad merah pada minit ke 70 perlawanan.
Ternyata, selepas itu United jelas semakin hanyut dan tidak mampu bangkit untuk mencari gol penyamaan yang ketinggalan 1-2 kepada PSG.
Penyerang PSG, Neymar Jr akhirnya mengesahkan kemenangan juara Perancis itu dengan gol ketiga pada masa kecederaan permainan.
Dalam perlawanan itu, PSG telah menjaringkan gol pembukaan menerusi
Neymar pada minit keenam, namun United dapat menyamakan kedudukan menerusi gol yang dijaringkan Marcus Rashfor pada minit 32. -Malaysiapost
Foto Kredit: Viva Goal

