Baru 48 jam disiar, Upin & Ipin ‘Barang Baik, Barang Kita’ dapat 2.2 juta tontonan

0
2

Nurul Huda Abhar

BIARPUN baru dimuatnaik pada Isnin lalu, video Upin dan Ipin Musim 14 yang bertajuk “Barang Baik, Barang Kita” telah berjaya mencatat pencapaian yang memberangsangkan apabila mendapat lebih 2.2 juta tontonan dalam masa 48 jam di platform Youtube.

Lebih bermakna apabila video kegemaran si cilik ini turut terdapat penampilan istimewa Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi versi animasi.

Alexander menerusi kenyataan memberitahu, penampilan istimewa dalam video Upin dan Ipin itu disifatkan sebagai sebuah penghormatan kepadanya serta warga kementerian.

Bertemakan “Barang Baik, Barang Kita”, ianya adalah salah satu langkah kementerian dalam mempromosikan barangan buatan tempatan dan mengangkat keupayaan produk kreatif tempatan.

Selain itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil pendekatan kerjasama bersama Les Copaque, syarikat yang menerbitkan kartun animasi Upin dan Ipin sebagai inisiatif memupuk kesedaran terhadap kempen Beli Barangan Buatan Malaysia.

Episod siri animasi Upin dan Ipin musim 14 ini memfokuskan kesedaran kepentingan beli barangan buatan tempatan di segenap lapisan masyarakat, terutamanya kanak-kanak.

Bagi Les’ Copaque pula, ia adalah pencapaian yang luar biasa, kerana dalam masa 48 jam sahaja siri musim 14 itu yang mempunyai tiga episod telah mendapat tontonan lebih 2.2 juta tontonan.

Untuk maklumat, proses penganimasian dan rakaman suara bagi Alexander Nanta dijalankan sewaktu lawatan beliau bersama kepimpinan KPDNHEP ke Les’ Copaque Production.

Episod yang mempunyai penampilan Alexander Nanta merupakan episod pertama musim 14 di mana tiada tayangan perdana di saluran televisyen apabila pihak produksi mengumumkan bahawa episod ini akan terus dimuatnaik ke saluran Les’ Copaque tanpa siaran di MNCTV.

Sebelum episod ini, pihak produksi telah memuat naik dua buah iklan mengenai barangan buatan Malaysia dan disiarkan di saluran televisyen seperti TV1 dan TV3.
-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here