Belanjawan Kementerian Kewangan lulus

0
1

Fitri Nizam

[PARLIMEN] DEWAN Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan (MOF).

Keputusan itu dimaklumkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang diputuskan menerusi undian belah bahagi dengan 107 menyokong sementara 95 tidak menyokong dan 18 tidak hadir.

Undian belah bahagi dijalankan selepas lebih 15 Ahli Parlimen blok pembangkang bangun menyokong supaya RUU itu diputuskan menerusi kaedah terbabit.

Terdahulu, Azhar memutuskan sidang ditempohkan selama 10 minit lagi, iaitu tambahan selepas dua minit loceng dibunyikan bagi membolehkan undian dijalankan, termasuk ruang masa diberi kepada Ahli Parlimen untuk berada di dalam dewan.

Sebelum itu, sesi penggulungan RUU bagi MOF dibuat sendiri oleh Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ketika pengumuman Belanjawan 2021 pada 6 November lalu, Kementerian Kewangan diperuntukan RM35.1 bilion dalam Belanjawan 2021 iaitu RM20.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM14.1 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Esok, tiga lagi kementerian akan menggulung iaitu Kementerian Luar Negeri, Kementerian Perpaduan Negara serta Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Undi belah bahagi ini adalah kali kedua yang dilaksanakan pada sidang Dewan Rakyat hari ini apabila blok pembangkang meminta kaedah sama dilakukan ketika undian untuk RUU Perbekalan (Belanjawan) 2021 di peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here