SELEPAS 48 jam dikebumikan, kematian Diego Maradona mencetuskan masalah baru apabila hartanah dan aset mewah serta perniagaan yang ditinggalkan lagenda bola sepak itu menjadi rebutan 10 orang anak dan bekas isterinya.
Agensi melaporkan, pakar undang-undang di Argentina kini sedang menilai jumlah aset-aset yang dimiliki mendiang yang meliputi sekurang-kurangnya lima buah rumah, kereta mewah dan perniagaan.
Kematiannya mengakibatkan hartanah berupa ladang yang bernilai £75 juta kini menjadi sasaran 10 anak dan bekas tunang.
Selepas dikebumikan, seorang remaja Santiago Lara, 19, yang mendakwa beliau adalah anak luar nikah Maradona mahu mayat bapanya digali semula untuk menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi membuktikan dakwaan itu.
Ini hanyalah permulaannya, Rocio Oliva yang bertunang dengan mendiang selama enam tahun sebelum berpisah pada 2018 menuntut pampasan kewangan, menurut peguam terkemuka Argentina, Ana Rosenfeld.
Lima lagi anak mendiang bersama model terkemuka Itali, Cristiana Sinagra iaitu Diego Jr, 34, Dalma, 33, Gianinna, 31, Jana, 24, Diego Fernando, 7, dilaporkan merebut untuk berkongsi harta yang ditinggalkannya.
Santiago Lara dan Magali Gil, 23, selain tiga lagi anak Maradona yang lain dijangka akan menuntut hak mereka.
Para pakar mendakwa ladang milik Maradona mampu menjana berjuta pound secara berterusan pada masa depan selain pelaburan yang dibuat di serata dunia.
Ketika pencarian aset-aset dimulakan, laporan turut mendakwa sebahagian kekayaan Maradona akan pergi kepada kerajaan Itali dalam bentuk cukai yang tidak dibayar ketika bersama Napoli pada tahun 80-an.
Kes itu pernah dibawa ke mahkamah dan pada 2013 keputusan mahkamah memihak kepada Maradona dengan dakwaan dia gagal membayar cukai hampir 36 juta pound sehingga 1990 adalah tidak berasas. -Malaysiapost

